
Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM), Shafie Bakri
SHAH ALAM – Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) mengakui pemansuhan Ordinan Darurat (EO) sebenarnya mempengaruhi tugas-tugas pasukan polis dalam menangani kes jenayah berat.
Presidennya, Shafie Bakri berkata, walaupun EO sudah dimansuhkan, peningkatan kadar jenayah yang semakin kritikal dan kompleks pada hari ini memerlukan undang-undang jenayah sedia ada diperkasakan sepenuhnya bagi menjamin keselamatan rakyat.
“Kita lihat sebaik sahaja EO dihapuskan memang secara umumnya jenayah berat melibatkan senjata api dan sebagainya semakin meningkat, ia tak dapat dinafikan kuasa polis juga menjadi lemah.
“Pindaan undang-undang boleh dibuat berkaitan tindakan susulan polis serta berkenaan siasatan kes jenayah itu,” katanya kepada Sinar Harian Online.
Tambahnya, ada jenayah yang tidak boleh diselesaikan dengan siasatan dan sukar mendapatkan bukti boleh diselesaikan dengan menambahbaik undang-undang supaya penjenayah tersebut tidak terlepas.
Mengikut laporan akhbar Sinar Harian, kerajaan telah menyedari bahawa peningkatan jenayah kejam pada masa ini ada kaitan dengan pemansuhan EO.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kajian polis mendapati kadar jenayah terutama jenayah kejam meningkat selepas penjenayah yang sebelum ini ditahan bawah EO, dibebaskan setelah pemansuhan ordinan itu.
"Kita dapat pastikan, memang inilah kesannya (jenayah meningkat) selepas tahanan EO dilepaskan. Tapi apabila ini berlaku, kita telah kehilangan alat iaitu undang-undang itu sendiri. EO sudah tak ada, jadi kita tak boleh lagi (tahan mereka)," katanya.
Selain kes tembak yang semakin berleluasa, angka kumpulan kongsi gelap dan ahlinya di negara ini juga begitu membimbangkan masyarakat.
Menurut Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi dalam sidang media berkata, kumpulan itu dikategorikan haram mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966 pada 28 Ogos 2013 melalui perwartaan P.U. (A) 272/2013.
Abdul Rahim menjelaskan, 49 kumpulan kongsi gelap dikenalpasti menjalankan kegiatan memudaratkan ketenteraman awam seperti sindiket pengedaran dadah, memeras ugut, menimbulkan pergaduhan antara pertubuhan kongsi gelap dan huru-hara.
"Mereka juga melakukan pembunuhan menggunakan senjata api atau barang-barang tajam seperti parang, pisau, kuku kambing dan sebagainya," katanya.
Bakri turut menegaskan, undang-undang yang digunakan polis dalam menangani jenayah sentiasa menjaga hak asasi manusia sama ada kepada penjenayah atau pun rakyat.
“Mana-mana undang-undang yang kita gunapakai memang menjaga rakyat dan penjenayah itu sendiri,” jelasnya.
0 komentar:
Posting Komentar